Friday, June 29, 2012

Itali Singkirkan Jerman Untuk ke Akhir EURO 2012



Juara Piala Dunia 2006, Itali menyingkirkan pasukan pilihan kedua EURO 2012 untuk ke perlawanan akhir setelah menewaskan Jerman 2-1 dalam perlawanan Separuh Akhir Dua EURO 2012 di Stadium Nasional, Warsaw awal pagi tadi.

Jerman yang mendominasi 20 minit pertama perlawanan tersentak apabila penyerang Itali, Mario Balotelli menanduk masuk bola hantaran silang Antonio Cassano pada minit ke 20 setelah berjaya melepasi pertahanan Jerman di sebelah kiri.

Penyerang Manchester City itu menjaringkan gol kedua beliau dan pasukannya 16 minit kemudian apabila beliau melepasi perangkap ofsaid benteng pertahanan Jerman untuk menerima hantaran hebat Riccardo Montolivo dan kemudian merembat bola melepas penjaga gawang jerman Manuel Neuer yang tidak dapat membuat apa-apa.

Jerman membuat dua penukaran di separuh masa kedua dengan Miroslav Klose dan Marco Reus menggantikan Mario Gomez dan Lukas Podolski untuk cuba bangkit.

Tetapi Itali yang mempunyai lebih banyak peluang baik untuk menjaringkan lebih gol, terutama sekali melalui Claudio Marchisio dan Antionio Di Natale. Jaringan Federico Balzaretti juga tidak dibenarkan akibat ofsaid.

Penjaga gawang dan ketua pasukan mereka Gianluigi Buffon juga memberikan persembahan yang hebat untuk menyelamatkan pasukannya beberapa kali, terutama sekali di saat-saat akhir perlawanan apabila beliau menepis sepakan percuma pemain gantian Jerman Marco Reus.

Tetapi beliau tidak dapat membuat apa-apa untuk menyelamatkan sepakan penalti Mesut Ozil di masa tambahan, yang diberikan selepas bola terkena tangan pemain pertahanan Lenoardo Bonucci di dalam kotak penalti.

Jurulatih Jerman Joachim Low tentu akan kecewa dengan persembahan pasukannya, yang tidak menujukkan prestasi biasa mereka dan kini harus tunggu lagi empat tahun untuk memenangi kejohanan yang mereka belum memenangi sejak tahun 1996.

No comments:

Post a Comment