Saturday, November 5, 2011

AidilAdha Menjelma Lagi....



Setiap tahun pada tanggal 10 Zulhijjah,seluruh umat Islam diseluruh dunia akan menyambut Hari Raya AidilAdha iaitu selepas jemaah hari Wukuf di Arafah.Jutaan lautan manusia berkumpul di Arafah pada hari tersebut setiap tibanya musim haji.

Kelebihan Hari Wukuf ataupun Hari Arafah antaranya ialah, Allah SWT akan membebaskan sesiapa yang menghadiri Padang Arafah dan memuliakan hari tersebut dari api neraka.Oleh itu, kerana hari keesokannya ialah hari kesyukuran dan perayaan bagi umat Islam dengan menzahirkan kesyukuran dan kegembiraan ke hadrat Allah.Kelebihan Hari Wukuf tidak terhad untuk jemaah haji yang berada di Tanah Suci sahaja, bahkan ia turut dirasai oleh semua umat Islam diseluruh pelosok dunia yang tidak mengerjakan ibadat haji.Sehubungan dengan itu, umat Islam digalakkan berpuasa sunat pada sembilan hari pertama dalam bulan Zulhijjah, terutamanya pada Hari Wukuf.

Selain itu, peristiwa besar yang berlaku dalam bulan Zulhijjah ialah peristiwa Nabi Allah Ibrahim dan putera kesayangannya Nabi Ismail.Ayahandanya menerima perintah daripada Allah SWT untuk menamatkan riwayat hidup anakandanya melalui sembelihan.Kita dapat merasa betapa luhurnya ketaatan, agungnya keimanan, tenteramnya hati, redhanya perasaan begitu tinggi mengatasi darjat yang biasa dicapai oleh manusia.Nabi Ibrahim melaksanakan perintah tersebut dengan merebahkan anakandanya untuk disembelih manakala Nabi Ismail redha menerima dan berserah untuk disembelih.Nabi Ibrahim dan anakandanya Nabi Ismail menyerahkan bulat-bulat kepada takdir Allah SWT.Inilah yang dikatakan ISLAM, inilah hakikat ISLAM iaitu percaya, yakin, patuh, tenang dan redha menyerah diri kepada  Allah SWT.Inilah perasaan yang dihayati oleh mereka berdua.

Akhir kalam, sama-samalah kita menghayati erti pengorbanan  untuk kita laksanakan pada era globalisasi ini ialah tidak  terbatas setakat sembelihan haiwan korban setahun sekali tetapi difahami secara menyeluruh ''definisi'' sebenar pengorbanan.Penulis ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILADHA kepada semua Muslimin dan Muslimat yang akan menyambutnya pada hari Ahad, 6 November ini.


SALAM AIDILADHA 1432H/2011M.

No comments:

Post a Comment