Thursday, April 26, 2012

Tiada Lagi LIONSXII bwh28 Untuk Musim Depan



Pasukan Singapura, LIONSXII yang kini dengan pemain Bawah-28 mungkin harus beraksi dengan skuad Bawah 23 tahun dalam Liga Malaysia pada musim depan.

LIONSXII kini menduduki tempat teratas Liga Super Malaysia dan merupakan antara pesaing hebat 14 pasukan dalam Liga.

Tetapi pasukan bimbingan V Sundramoorthy itu mungkin akan mengalami perubahan pada tahun 2013.

Akhbar Today melaporkan, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berharap pasukan dari Singapura itu akan kembali ke pasukan Bawah-23 pada tahun depan dengan kemungkinan dua pemain lebih berumur disertakan dalam pasukan itu.

"Saya harap LIONSXII akan kekal dengan peraturan Bawah-23 tahun depan. Mungkin paling banyak, dua pemain senior dibenarkan dalam pasukan disebabkan latihan Khidmat Negara. Saya mahu melihat pasukan LIONSXII yang kuat dalam pertandingan ini kerana pasukan MSL yang lain turut mempunyai pemain import," kata Tengku Abdullah kepada Today.

Komen Tengku Abdullah itu dinyatakan dalam temuramah Today bersama baginda minggu lepas setelah beberapa aduan dari pasukan di Malaysia tentang rancangan awal Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dengan FAM yang menetapkan pasukan kebangsaan Bawah-23 kedua-dua negara disertakan dalam Liga masing-masing.

Oleh kerana latihan Khidmat Negara yang perlu dilalui oleh kebanyakan pemain di Singapura, FAS dibenarkan untuk menyertakan pasukan Bawah-28.

Jurulatih Sundram memberitahu Today semalam: "Jika peraturan Bawah-23 diwajibkan kita akan kehilangan separuh dari pasukan dan harus membina pasukan semula tahun depan. Tetapi FAM yang menetapkan peraturan, jadi kami harus menghormati itu,"

"Walaupun kita masih ikut peraturan Bawah-28 tahun depan, kami akan tetap kehilangan pemain seperti Shahril Ishak, Baihakki Khaizan, Juma'at Jantan, Khairul Amri, Sevki Sha'ban dan Agu Casmir. Tidak mudah untuk menggantikan mereka, tetapi kami akan cuba. Jika peraturannya adalah Bawah-23, tugas kami lebih berat."

Sebagai respon terhadap komen Tengku Abdullah itu, Presiden FAS, Zainudin berkata kepada Today: "Ia sepatutnya situasi yang adil kepada kedua-dua belah pihak. Ia untuk perkembangan pasukan dan kami juga mesti menambahkan nilai dalam kedua-dua liga dengan pasukan yang berdaya saing.

"Saya dan Tengku Abdullah telah bersetuju ia sesuatu yang merugikan untuk menghantar pasukan yang lemah dalam liga masing-masing.

"Baginda juga tahu beberapa pemain tidak boleh ke tempat lawan disebabkan latihan Khidmat Negara dan baginda tidak mahu pasukan LIONSXII yang lebih lemah, jadi kami bersetuju untuk menyertakan beberapa pemain senior."

Walaubagaimanapun, Zainudin memberitahu bahawa FAS dan FAM akan mengadakan perbincangan tentang perkara ini secepat mungkin.

No comments:

Post a Comment